Create your own banner at mybannermaker.com!

Wednesday, May 20, 2009

Tauladan dan Praktik - siri 4

Shaikh Abdul Kadir Jailani


Nama Shaikh Abdul Kadir Jailani sudah termasyur sejak berabad-abad lamanya di kalangan umat Islam dan beliaulah yang menjadi pengasas tarekat Qadariyah yang ramai sekali pengikutnya di merata dunia Islam. Wali besar ini dilahirkan di sebuah kampung bernama Nif, di daerah Jilan, utara negeri Iran. Keturunan dari sebelah ayahnya dapat disusur hingga sampai kepada Saiyidina Hassan Bin Ali r.a. Ibunya juga terkenal sebagai seorang wanita yang sangat salih dan taqwa yang merupakan anak seorang wali Allah.

Banyak sekali kisah-kisah yang diriwayatkan tentang kesolehan dan kebesaran wali Allah yang bernama Shaikh Abdul Kadir Jailani ini. Bahkan semenjak kecil lagi Shaikh Abdul Kadir Jailani telah memperlihatkan ciri-ciri kesolehan dan ketaqwaannya yang luar biasa. Satu daripada peristiwa atau kisah yang diriwayatkan tentang masa kecilnya ialah perihal peristiwa beliau hendak pergi berangkat ke kota Baghdad dengan tujuan untuk menuntut ilmu dari tempat tinggalnya yang amat jauh itu.

Sebelum berangkat dari rumahnya mengikuti satu kafilah yang akan menuju ke Baghdad, ibu Shaikh Abdul Kadir Jailani telah memberinya sedikit wang sebagai belanja pergi dan balik serta sedikit bekalan makanan. Sebelum anaknya berangkat ibu Shaikh Abdul Kadir Jailani telah menyembunyikan wang anaknya itu pada bahagian lengan baju anaknya lalu dijahitnya supaya tidak diketahui orang.

Setelah siap, ia pun berpesan kepada anaknya, “ Hai anakku, dengarlah baik-baik pesan ibu ini. Bila kau dalam perjalanan dan berada di negeri orang, engkau hendaklah sentiasa bercakap dan berlaku benar. Ketahuilah bahawa orang Islam tidak boleh berdusta. Hendaklah kau ingat hai anakku akan sabda Rasul bahawa amanah itu kejayaan. Berlaku benarlah baik dalam tutur kata mahupun dalam perbuatan supaya engkau beroleh selamat dan dilindungi oleh Allah s.w.t”.

Maka setelah lama dalam perjalanan mengikut kafilah yang akan pergi ke Baghdad itu, tiba-tiba kafilah yang disertai oleh Shaikh Abdul Kadir Jailani diserang oleh satu angkatan penyamun. Segala barang yang dibawa oleh beliau habis dirompak. Lalu seorang penyamun bertanya kepada beliau, katanya, “Hai budak! Apa lagi yang ada pada engkau. Cakaplah benar kepadaku!” bentak penyamun itu dengan suara yang keras, lalu Shaikh Abdul Kadir Jailani menjawab, “Ya ada! Aku ada 40 ashrafis” ujarnya tegas dan bersahaja.

Penyamun itu lantas terkejut mendengarkan kata-kata Shaikh Abdul Kadir Jailani kerana sangkanya budak itu mahu mempersendakannya. Masakan seorang budak hendak memberitahu kepada seseorang penyamun dia masih ada wang lagi. “Apakah engkau mahu memperolok-oloklan aku?”. “Tidak, sungguh tuan, saya tidak berkata dusta” sahut Shaikh Abdul Kadir Jailani lalu menyambung:

“Tuan, tidakkan tuan tahu bahawa orang yang sedang menuntut atau mengejar ilmu itu seperti sedang berjalan menuju ke syurga kerana sentiasa disertai oleh malaikat yang sedia menolongnya. Saya bercita-cita menjadi seorang yang beriman lagi berilmu. Saya adalah keturunan Rasulullah s.a.w dan saya benci sekali bercakap bohong. Apalah ertinya wang 40 ashrafis pada saya ini tuan, hingga saya terpaksa berbohong? Seorang Islam yang sejati tidak sekali akan berbohong sekalipun dalam bahaya dan kesulitan!”

Kali ini penyamun itu merasa semakin terkejut mendengar kata-kata Shaikh Abdul Kadir. Ia merasa hairan memikirkan sikap budak itu yang secara berani dan tegas memperkatakan yang benar tanpa berganjak sedikitpun. Dengan perasaan bingung penyamun itu pun lalu membawa Shaikh Abdul Kadir berjumpa ketuanya.

“Siapa nama engkau dan dari mana engkau datang?” Tanya ketua penyamun.

Shaikh Abdul Kadir menjawab dengan berani “ Nama saya Abdul Kadir dan saya datang dari Jilan”

“Kemana engkau hendak pergi?”

“ Baghdad”

“Untuk tujuan apa kau kesana?”

“Saya hendak menuntut ilmu.”

“Bagus! Bagus! Engkau tentu bawa wang bukan?”

“Benar! Saya mempunyai 40 ashrafis.”

Demi mendangarkan pengakuan Shaikh Abdul Kadir itu, ketua penyamun terkejut lantas berkata lagi “Apa benarkah apa yang engkau katakan hai budak atau engkau sengaja hendak memperolok-olokkan aku?” Maka sambung Shaikh Abdul Kadir “Benar tuan! Saya tidak suka dan tidak pernah bercakap bohong kerana saya seorang Islam. Inilah ajaran ibu saya semenjak saya pandai bercakap lagi. Apalah erti wang 40 ashrafis bagi saya ini hingga saya terpaksa berbohong. Dan apalah gunanya saya hendak bersusah payah mencari ilmu di tempat yang jauh kalau untuk menjadi seorang pembohong! Akan sia-sialah segala amal dan ibadat saya dan akan sia-sialah asuhan dan didikan ibu saya!”

Dengan kuasa Allah s.w.t. ketua penyamun itu menjadi terpaku sebentar tatkala mendengarkan kata-kata Shaikh Abdul Kadir yang penuh iman dan hikmat itu lantas ia pun menjadi malu dan insaf. Akhirnya dengan bercucuran air mata kesedihan ketua perompak itu memohon maaf dari Shaikh Abdul Kadir Jailani lalu bertaubat dari melakukan kerja yang mungkar lagi hina itu.

Demikianlah secebis kisah tentang Shaikh Abdul Kadir Jailani ketika dalam perjalanannya untuk menuntut ilmu di kota Baghdad. Di kota itulah beliau telah belajar kepada Tibrizi, seorang ulama’ yang terkenal di masa itu. Di sanalah juga Shaikh Abdul Kadir Jailani telah terpikat dengan cara hidup sufi dari tarekat Abu Al Khair Muhammad. Shaikh Abdul Kadir memperoleh pakaian sufi yang digelar Khirka dari pemimpinnya bernama Qazi Abu Sad Mubarak, tokoh perundangan dari mazhab Hambali.

Sebagai seorang guru tarekat, pengajarannya telah menimbulkan satu semangat baru serta keinsafan kepada para pendengarnya. Satu daripada khutbahnya yang berjudul Futuh Al Ghayb, adalah dianggap satu daripada karya Islam yang terbaik dan mengandungi banyak unsur-unsur pendidikan. Ramai orang-orang Kristian dan Yahudi yang terpengaruh oleh pengajarannya lalu memeluk Islam.

Kemasyhuran Shaikh Abdul Kadir sebagai ulama’ dan ahli sufi akhirnya tersebar ke merata dunia Islam. Kaum Muslimin dari pelbagai kawasan dunia Islam telah datang untuk menemuinya serta bertanyakan pelbagai masalah dan kemusykilan kepadanya. Beliau telah menjawab segala kemusykilan-kemusykilan yang dikemukakan kepadanya dengan penjelasan yang memuaskan. Ramai raja, pembesar dan orang-orang kenamaan yang telah menjadi para pengikutnya. Beliau amat disayangi dan dicintai kerana ciri-ciri kebesaran jiwanya seperti merandah diri, bersopan santun, bersifat sederhana dan hidup penuh suci di samping ilmu yang bagaikan lautan luasnya.

Shaikh Abdul Kadir Jailani adalah wali Allah yang mempunyai ramai sekali pengikut-pengikutnya terutama di kalangan bangsa Kurdi di suatu daerah di negeri Iran dan mendapat pengaruh yang besar terutama dikalangan kaum Muslimin di benua kecil India dan Pakistan. Pengikut-pengikut tarekat yang diasaskan oleh beliau iaitu tarekat Qadiriah juga mempunyai ribuan jumlahnya di kawasan Asia Tengah, Cina dan Indonesia.



No comments: